Thursday, April 29, 2010

Alahai Emak.

Emak bersama cucunya, Nurul.


Dalam adik beradik, aku memang yang paling rapat dengan Emak. Dari kecik sampai esoknya hari aku dah nak kahwin pon, aku masih tidur dengan Emak. Masa Arwah Abah ada, aku akan tidur tengah-tengah. Sebelah tangan kanan pimpin tangan Emak. Sebelah tangan kiri pimpin tangan Abah. Macam nak pergi jalan pon ada. Hehehehehehe.

Dalam banyak-banyak hal pon, Emak lebih banyak bercerita dengan aku. Cerita dia dulu-dulu masa kecik-kecik kat kampung. Kisah zaman remaja dia. Macam mana susahnya hidup selepas kahwin. Susah senang dia dengan Arwah Abah, banyak masuk telinga aku.

Dengan abang-abang dan kakak aku pon, Emak ada cerita. Cuma lebihnya kat aku. Mana tidaknya, tidur sekatil 24 tahun. Sebelum tidur, mesti ada story telling. ;p

Mungkin antara kalian pernah sedia maklum, aku ada 4 orang adik beradik. Abang Long, Kak Ngah, Abang De dan aku yang bongsu. Tapi kurang orang yang tahu sebenarnya aku ada seorang lagi kakak. Siapakah dia?

Jeng jeng jeng....

Gambar masa tahun 1968.
Arwah Pak Long Hassan dengan Kakak.



Kami gelarkan dia, KAKAK. Dia anak sulung dalam keluarga kami. Maksudnya, sebelum dapat Abang Long aku lah. Gambar kat atas tu, adalah satu-satunya gambar dan kenangan yang Emak aku simpan sampai sekarang. Zaman dulu, mana ada gambar-gambar sakan.

Nama Kakak aku ni, NOR KHADIJAH BINTI ABDUL RAHIM. Dilahirkan pada 3 Disember 1967. Kalau hitungan aku betul, umur dia sekarang sudah menjangkau 43 tahun. Mungkin dah ada 4 orang anak. Dah besar panjang agaknya. :)

Tapi mana Kakak sekarang?

Kawan-kawan, kakak aku ni sebenarnya sudah awal-awal lagi dijemput Ilahi. Beliau telah menghadap Tuhan Penciptanya seawal umur 1 tahun 1 hari. Tarikh 4 Disember 1968, mungkin takkan dilupakan oleh Emak. "Pergi tanpa sakit", kata Emak.

Kalau sebelum ni aku rasa, aku adalah Penyimpan Mohor Besar Emak. Tapi rupanya aku silap. Banyak lagi benda yang Emak tak pernah ceritakan pada aku. Especially kisah-kisah Kakak.

Bagaimana kerinduan Emak pada anak sulungnya itu? Bagaimana Emak menghadapi hari-hari tanpa anak yang dicintai? Bagaimana Emak begitu tabah mengharung Hari Raya yang bakal tiba lagi 4 hari waktu itu? Dengan baju raya Kakak yang sudah siap dijahit?

Aku pernah dikhabarkan oleh seorang saudara rapat. Kata saudara ini, Emak tidak bercakap agak lama selepas pemergian Kakak. Emak suka duduk di tepi tangga sambil memeluk baju raya Kakak yang sudah siap dijahit. Emak akan menangis bila kanak-kanak datang mengaji rumah Atok. Sebab kesukaan Kakak ialah duduk di tengah-tengah mendengar kanak-kanak mengaji.

Pertama kali Emak bercerita semuanya tentang Kakak pada aku, sewaktu aku duduk termenung memeluk album khas yang aku wujudkan untuk menyimpan gambar scan Nashrah. Aku rasa, waktu itu, aku bercakap dengan seorang ibu muda yang juga kehilangan anak. Bagaimana rasanya hati aku, begitu juga rasa hati Emak.

"Awak tak pandang mata anak lagi Yang. Emak ni, sampai sekarang terpandang-pandang mata Kakak. Terbayang-bayang macam mana dia duduk kat tengah-tengah budak mengaji, sambil badannya bergoyang macam orang meratip. Macam mana sukanya dia tengok budak datang mengaji. Dah pandai mengagah. Dah boleh buat main."

"Tiap kali hujan, Emak mesti teringat kat Kakak. Macam mana dia kat 'sana'? Takut tak dia? Sebab Kakak takut guruh. Kakak akan lari dapatkan Emak ngan Abah kalau hujan. Kakak akan peluk Emak kuat-kuat. Sampailah hujan berhenti. Sampailah Kakak tidur sendiri."

"Kakak suka main kotak rokok Abah. Kalau Abah dukung dia, mesti kotak rokok Abah dalam kocek yang dicapainya. Emak terbayang-bayang sampai sekarang...."


"Kalaulah dia ada lagi sekarang, dah besar panjang agaknya cucu Emak."

Sambil mengesat air mata.

Aku? Ternganga.



Aishah Rahim | ID 882365 Page : Vitamin Ibu Hamil, Berpantang & Menyusu Call / SMS / Whatsapp : 014-3580109 Blog : http://www.myaishah.com Email : shara85_jb@yahoo.com

Monday, April 26, 2010

Semangat Yang Datang.

Aku akui, pregnancy yang pertama dulu, aku tak pernah fikir pon pasal breastfeed. Tak pernah terniat pon nak buat penyusuan secara eksklusif. Bahkan, aku dah siap sedia memasukkan susu formula dalam belanjawan bulanan bila baby dah lahir nanti. Kononnya, nak beri susu Isomil pada anak kami. Mengharapkan anak yang bakal lahir itu nanti akan cerdik, keletah dan bijak macam anak saudara aku. Huwah, berangan nak dahsyat! :)

Entah kenapa, aku beria sangat kali ini. Setiap hari akan buka laman web jualan online semata-mata untuk kenalpasti gadget-gadget yang digunakan untuk breastfeeding. Mencari breast pump yang bagus dan mudah untuk digunakan. Meninjau extra gadget yang mungkin diperlukan. Melawat blog mommy-mommy hot yang menjalankan penyusuan secara eksklusif. Dan tak lupa, belajar cara-cara penyimpanan EBM yang betul. Seronok betul! :D

Aku kurang semangat pada mulanya. Terus terang aku katakan, aku ni jenis hangat-hangat tahi ayam. Takut nanti, aku dah berhabis beli bermacam breastfeeding gadget, ke dalam almari juga tersadainya. Aku takut aku jadi malas nak mengepam. Aku takut aku lali nak jaga stok EBM. Aku takut bila aku penat balik kerja, aku terus terbongkang atas katil. Huh, terbayang-bayang dalam kepala hotak aku ni ha.

Aku bincang dengan Emak dan suami. Mula-mula Emak macam ternganga jugak bila aku cakap nak fully breastfeed. Aku rasa Emak aku lebih kepada nak gelakkan aku. Tapi aku cuba jugaklah menunjukkan keyakinan yang ada 15% masa tu. Buat-buat macam serius. Padahal dalam hati ni dah cair bila Emak tanya sanggup ke aku bila bla bla bla bla.

At last, Emak keluarkan statement yang sedikit melegakan hati. Sedikit aje;

"Terpulanglah pada awak. Cubalah dulu..."

Berbincang dengan suami pulak, mengambil masa yang agak panjang. Banyak sangat soal jawab yang dibentangkan. Dahlah aku ni gagap-gagap nak menjawab. Nampak nah kurang keyakinan. Tapi oleh kerana memahami sikap isteri yang KALAU NAK, MESTI NAK, maka suami pon mengalah. Tak kuasa nak panjang-panjang debat agaknya. ;p

Sebagai langkah pertama, aku telah menutup mata dengan menekan butang BUY kat Enjoy Breastfeed. Niat di hati nak beli barang-barang yang besar terus. Tapi istighfar banyak-banyak dalam hati, mintak sabar. Hehehehe.

Makanya, barang kecil yang telah berjaya dibeli ialah;


Tumpang lalu.



Yippie!!
PP Bottle Storage 8Pcs + 2Pcs Free = RM35.01.



Eksaited kau tahu? Dah lah ini 1st time beli barang online. Setiap setengah jam pergi check AirPak Express punya track number. Nak tahu status terkini. Padahal dah terang-terang hari Sabtu dan Ahad tak bekerja. Huhuhuhuhu.

Oh yes! Feelingnya sangat-sangat bagus. Barulah nampak cahaya terang di depan mata. Seperti jalan yang terbentang luas. Burung berkicau menyanyikan lagu cinta. Pepohon mengalunkan irama syahdu. Dan.....

DIAM AISHAH!!

Baiklah, next step, aku bercadang nak grab breast pump pulak. Tapi, aku masih samar-samar nak beli breast pump apa. Manual atau electric? Single pump atau double pump? Complicated atau simple-simple? Huh, pening kepala dok fikir. Setiap hari pon memikirkan masalah negara yang satu ni.

Dalam kepala aku sekarang, ada tiga pump yang terbayang-bayang.


Pureen Battery Operated Breast Pump
Harga = RM129
(Siap boleh pasang adapter kalau nak pakai electric)




Medela Harmony Manual Breast Pump
Harga = RM170 @ LilKaiStore



Spectra 3 Electric Breast Pump
Harga = RM326 @ Enjoy Breastfeed


Aku mintak jasa baik kalian, berilah sedikit idea dan pendapat tentang pemilihan breast pump yang bagus. Pendapat yang memberangsangkan amatlah diharapkan. Terima kasih.



Aishah Rahim | ID 882365 Page : Vitamin Ibu Hamil, Berpantang & Menyusu Call / SMS / Whatsapp : 014-3580109 Blog : http://www.myaishah.com Email : shara85_jb@yahoo.com

Friday, April 16, 2010

Kasih Sayang Sesama Insan.

Aku copy paste entry ini dari Ladynoe. Aku harap, kita sama-sama dapat doakan adik NurHannah Bte Mohamed Helmi ini supaya cepat sembuh dan menikmati hidup seperti kanak-kanak yang lain. Dia bukan anak aku. Dia bukan anak kalian. Tapi lakukan ini atas rasa kasih sayang sesama insan. Insya-Allah.

**********************************************************

Saya Rohaiza Bte Ishak. Saya merupakan guru Kemahiran Hidup di MRSM Muar. Tujuan saya menulis email ini ialah untuk memohon belas kasihan dari pembaca kerana anak kedua saya yang bernama NurHannah Bte Mohamed Helmi berusia 3 bulan tidak sihat.

Ketika bersalin, anak saya lemas kerana tali pusat keluar lebih kurang 40 minit sebelum saya bersalin. Ini menyebabkan anak saya lemas kerana tidak mendapat oksigen kerana tali pusat sudah terkeluar.

Apabila doctor scan (MRI) otak anak saya, doctor menyatakan bahawa anak saya terencat akal kerana sel-sel otak telah mati kerana kekurangan oksigen. Hanya Allah yang tahu apa yang saya rasa ketika itu.

Kaki bagaikan tidak jejak ke bumi. Muka saya pucat bagaikan tiada darah lagi. Hampir 3 minggu saya mengambil masa untuk terima hakikat apa yang doctor terangkan mengenai anak saya. Hari-hari saya menangis. Saya rasakan hati saya kosong.

Selepas 3 minggu saya cuba berkongsi masalah dengan teman sekerja. Semangat saya mula datang apabila ada rakan yang mengalami situasi yang sama seperti saya iaitu anak mereka lemas ketika bersalin. Doktor juga menyatakan anak mereka terencat akal. Tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya dan anak mereka alhamdulillah sihat. Tetapi saya akui bahawa saya hanya insan yang lemah. Kadang-kadang saya kuat, kadang-kadang saya lemah sangat.

Rakan menasihati saya agar perbanyakkan solat hajat, baca yassin dan bersedekah. Alhamdulillah. Saya melakukan semua nasihat yang mereka berikan. Perkembangan terbaru tentang anak saya ialah dia masih lagi belum boleh menghisap dan menelan. Minum susu menggunakan tiub yang dimasukkan terus ke perut. Suction Machine pula digunakan untuk menyedut air liur kerana anak masih tidak boleh menelan.

2 minggu lepas anak dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman pada paru-paru. Ketika itu keadaan anak terlalu lemah menyebabkan doctor sukar mencari urat anak. Pilihan kedua ialah masukkan line hingga ke tulang. Sekali lagi anak saya diduga iaitu selepas 3 hari kaki anak bengkak. Apabila doctor buat x-ray, rupanya kaki anak saya patah kerana dicucuk ketika memasukkan line.Pergerakan anak saya tidak seaktif bayi kerana kesan kurangnya oksigen di otak. Tambahan pula kaki kanan anak bersimen.

Hanya Allah tempat saya mengadu. Jika boleh, biarlah saya yang menanggung semua kesakitan itu, bukan anak saya yang berumur 3 bulan. Minum guna tiub, tak tahu menelan, kaki pula bersimen. Kalian bayangkanlah bagaimana perasaan seorang ibu yang menjaga janin dalam kandungan bagaikan menatang minyak yang penuh. Tetapi selepas lahir, begitu besar ujian untuk anak saya. Terus terang saya katakan bahawa ini adalah ujian yang maha-maha besar dalam hidup saya. Saya bersyukur kerana Allah menguji saya kerana Dia sayangkan saya dan anak.

Dikesempatan ini saya memohon, merayu dan menagih simpati agar kalian dapat meluangkan masa untuk melakukan sembahyang hajat agar kesihatan anak saya pulih dan jauhkanlah anak saya dari sebarang kecacatan.

Andainya terlalu berat permintaan saya, bacakanlah Al-Fatihah. Jika permintaan ini juga berat, cukuplah kalian mengucapkan INSYA-ALLAH agar anak saya sihat, dijauhkan dari kecacatan dan dipulihkan kerosakan pada otaknya. Mudah-mudahan dengan keikhlasan kalian, doa kalian dimakbulkan. Hanya Allah yang mampu membalas budi kalian.

Saya juga memohon agar kalian dapat forwardkan email ini kepda rakan-rakan kalian agar dapat membantu anak saya. Kesihanilah anak saya kerana dia terlalu kecil untuk memahami erti kesakitan. Jika ada nasihat, pengalaman dan ilmu, emailkanlah kepada saya rozex_3056@yahoo.com.my. Di sini saya sertakan panduan sembahyang hajat. Mudah-mudahan bolehlah kalian amalkan jika ingin memohon sesuatu hajat. Percaya dan yakinlah bahawa Allah maha mendengar doa dari hambaNya.

Solat Hajat

1) Niat Ushalli Sunnatal Hajati Rak’ataini Lillaahi Ta’aala.

2) Tiap-tiap 2 rakaat sesudah membaca Al-Fatihah, baca Ayat Kursi 1x, dan Kul Huallah Huahad sebanyak 1x.

3) Sehabis salam yang terakhir, sujud semula. Teruslah meminta hajat kepada Allah dengan khusyuk. Insyaallah Allah makbulkan.

Ayat Kursi

Allahu laa ilaaha illaa huwal hayyl qayuum, la tak khu-dzuhuu sinataunw walaa naw-um, lahuu maa fis samawaati wamaa fil-ardhi, man dzal-la-dzii yasy-fa-‘u indahuu illaa bi-idz-nihii, ya’-lamu maa bayna aydiihim, wamaa khal-fahum walaa yuhii-thuuna bi-syai-inm min’ilmihii illa bimaa syaa-a, wasi-‘a kursiy-yuhus samaawaati wal-ar-dha, walaa ya-uu-duhuu hifzhuhumaa wahuwal ‘aliy-yul azhim.


Gambar ini diambil pada hari ke-2 kelahiran Hana. Waktu ini Hana di ICU nursery. Hana bernafas menggunakan mesin kerana ketika lahir, denyutan jantung sudah terhenti. Doktor melakukan CPR untuk mendapatkan semula nyawa Hana. Allah Maha Berkuasa. Alhamdulillah.



Ini gambar 2 minggu lepas ketika di wad knk2 tiba2 pernafasan Hana laju. Doktor memberi saya 2 pilihan. Pilihan pertama untuk mendakap Hana buat saat terakhir kerana Hana terlalu sukar bernafas. Pilihan kedua pula ialah masuk ke ICU dan memasukkan kembali tiub pernafasan. Doktor menerangkan jika tiub sukar di masukkan ke mulut, mereka akan masukkan melalui leher dengan menebuk leher Hana. Dengan kuasa Allah tiub berjaya dimasukkan melalui mulut.



Ini gambar ketika Hana dimasukkan ke ICU selepas tiub pernafasan dimasukkan melalui mulut. Hanya air mata saya yang menemani Hana ketika di ICU kerana saya tidak dibenarkan menjaga Hana ketika di ICU.



Ini gambar selepas kaki Hana disimen. Tiub di mulut Hana digunakan untuk menyusu. Belum lagi pandai menghisap, kaki pula patah. Alhamdulillah atas ujian yang diberikan. Saya redha.

Saya berharap dengan melihat gambar Hana, lahirlah sedikit simpati dari kalian. Cuma doa yang saya pohon dari kalian agar Hana boleh membesar seperti kanak-kanak yang sempurna. Jauhkanlah Hana dari kecacatan. Mudah-mudahan Allah gantikan sel yang rosak di otak Hana dengan sel yang baru dan dipilih di kalangan sel yang terbaik untuk Hana. Inilah doa yang tiap kali saya baca setiap sujud yang terakhir, setiap kali lepas solat fardu dan solat hajat. Mudah-mudahan Allah makbulkan segala doa dan Allah berkati segala usaha saya. Selebihnya saya bertawakal. Amin.

**********************************************************

P/S : Lakukan segalanya dengan ikhlas. Doa kuat-kuat dalam hati. Sebarkanlah selagi mampu. Moga dengan ikhlas, doa dan sebaran kalian, diberi imbalan yang besar dari Tuhan. Amin.



Aishah Rahim | ID 882365 Page : Vitamin Ibu Hamil, Berpantang & Menyusu Call / SMS / Whatsapp : 014-3580109 Blog : http://www.myaishah.com Email : shara85_jb@yahoo.com

Wednesday, April 7, 2010

Trauma & Fobia.

Hari ini genap kandungan 20 minggu. Kejap aje rasanya. Macam baru semalam menangis macam separuh gila atas katil rumah. Dipujuk ke hospital untuk proses mengeluarkan cinta hati, Nashrah. Saat yang tidak akan dilupakan. Tak akan pernah.

Pagi tadi jugak telah ke Klinik Kesihatan Kempas untuk check up bulanan. Alhamdulillah, setakat ni semuanya okeh. Tak ada masalah. Harap-harap ianya berkekalan. Doa kuat-kuat dalam hati.

Semalam terima khabar sedih dari seorang rakan baik. Beliau keguguran setelah 6 minggu mengendong zuriat tercinta. Aku fikir 10 kali bila nak telefon bertanya keadaan. Aku faham sangat situasi dia. Tak mahu angkat telefon. Tak boleh bercakap. Macam aku dulu jugak.

Sekali telefon, dia tak angkat. Terus aku tak cuba lagi. Aku tak nak mengganggu emosi dia. Sesiapa pon bila berada dalam keadaan sedemikian akan mengalami jiwa kacau. Sedih teramat.

Tup tup, telefon aku berdering. Suara rakan baik ni tadi kedengaran. Tapi totally suara dia lain. Suara sedih dan menangis. Aku terkaku kejap. Cari ayat terbaik nak bagi kat dia. Tapi aku tak jumpa pon. Aku cuma mampu diam. Dengar luahan dia.

Dalam diam aku berfikir. Si dia ni antara orang yang sentiasa di sisi aku bila aku sedih dulu. Dia tak putus-putus mengharapkan aku bersabar. Minta aku tabah. Menitipkan kata semangat melalui SMS bila aku langsung tak mahu menjawab telefon.

Tapi kenapa aku diam aje bila dia tengah sedih?

Aku hilang kata sebenarnya. Sejak peristiwa hilangnya Nashrah, aku jadi benci dengan perkataan 'sabar'. Aku geli mendengar perkataan 'tabah'. Aku lali nak mengucapkan 'redha' dan 'berserah'. Aku dah puas mendengar deretan perkataan itu tadi. Aku tak nak kawan aku ni tadi melalui benda yang sama. Lebih baik aku diam.

Korang tahu, apa yang betul-betul buat aku tenteram ketika mendung datang dulu? Jawapannya ialah KELUARGA. Aku gembira kerana aku tidak dilayan seperti orang yang mati anaknya. Aku dilayan seperti biasa oleh semua ahli keluarga. Tak ada seorang pon antara mereka pernah mengingatkan atau menyebut kisah yang sudah lepas. Sampaikan aku rasa kandungan sekarang adalah yang pertama.

Keluarga ini jugaklah yang datang setiap hari dua kali melawat aku kat hospital. Sharp pukul 1 tengahari, katil aku mesti penuh dengan suami, emak, ibu mertua, ayah mertua, adik beradik dan adik beradik ipar. Pukul 4.30 petang kang, orang yang sama jugak. Setiap hari. Tak pernah miss sepanjang 2 minggu aku keluar masuk hospital.

Sampaikan ada pakcik makcik yang melawat anak-anak diorang kat katil sebelah pon heran. Sakit apa budak ni boleh rileks gelak-gelak macam buang duit aje masuk 1st class. Siap risik-risik kat keluarga aku, aku sakit apa. Hehehehe.

Ada satu hari tu, aku curi-curi baca laporan nurse pasal keadaan aku. Bahasa doktor bab-bab ubat ni memang aku tak faham. Tapi yang buat aku gelak, ada satu sentence ni, nurse tu tulis;

"PESAKIT KELIHATAN SANGAT GEMBIRA"

Korang bayangkan?? Dia kata aku gembira??

Aku tak pernah menangis waktu siang bila orang ramai-ramai. Aku suka orang datang melawat aku. Aku macam lupa semua benda. Aku akan siap-siap tunggu kat lif sorang demi sorang naik. Paling best, mesti ada bekalan macam-macam. Emak datang bawak nasi dengan lauk. Ibu mertua pulak mesti bawak buah pelam. Adik ipar siap belikan Ayam McD. Heaven kau tahu?

Dan aku benci malam, time nak tidur. Masa itulah rasa airmata tak tertahan-tahan. Aku akan tarik selimut tutup muka. Goyang kaki laju-laju. Sebab nak cepat-cepat tidur. Tak nak ingat apa-apa. Tak nak ingat apa-apa. :)

Bila aku ditarik keluar dari Labour Room selepas mengeluarkan Nashrah pun, aku senyum. Tapi aku jadi takut. Aku tengok mata semua orang merah. Baru lepas menangis. Diorang emosi sebab baru balik dari kebumikan budak kecik tu. Kalau aku ada kekuatan, aku pon nak pergi tengok. Tapi apakan daya, aku ditahan dalam Labour Room dekat 5 jam. Dan kalau bukan sebab ditahan pon, takkan lah aku dibenarkan pergi kan?

Lebih kurang 6 minggu lagi akan ke usia kandungan 25 minggu 6 hari. Saat di mana aku kehilangan Nashrah dulu. Perasaan? Allah sahaja yang tahu. Nak melalui 20 minggu pertama ni pon dah cukup gentar dalam diri. Trauma dan fobia, itu apa yang dalam diri aku sekarang. Aku cuba buat-buat tak ingat. Cuba buat tak tahu. Mintak-mintaklah berhasil.



Aishah Rahim | ID 882365 Page : Vitamin Ibu Hamil, Berpantang & Menyusu Call / SMS / Whatsapp : 014-3580109 Blog : http://www.myaishah.com Email : shara85_jb@yahoo.com

Monday, April 5, 2010

Gunakan Maybank Visa Debit Kad Di Paypal.

Aku dah lama ada akaun Paypal. Kalau tak silap aku, register tahun 2008. Tapi aku langsung tak pernah guna sebab stuck kat bahagian LINK CREDIT AND DEBIT CARD. Lama gila Paypal aku tersadai. Sampai kena limitation segala. Terpaksalah aku call Paypal Singapore dan mintak resolve account limitation tu. Ikut step by step semua, dah selesai. Alhamdulillah.

Kelmarin, satu lagi masalah selesai. Aku dah berjaya link-kan account Paypal guna Maybank Visa Debit Kad. Suka sangat dalam hati. Sampai lonjak-lonjak. Eh, melonjak secara perlahan. Tak boleh lonjak kuat-kuat. Bahaya.

Aku rujuk artikel dari blog Rohaizad untuk link-kan Debit Kad aku. Sekali buat, terus successful. Terima kasih banyak-banyak. Susah nak cari orang yang tak kedekut ilmu macam ni.

Kat sini, aku kongsi serba sedikit macam mana aku link-kan Debit Kad aku.

1) Belum ada akaun Paypal? Daftar kat sini.

2) Pastikan segala maklumat yang dimasukkan adalah benar dan sama macam dalam IC. Kalau tidak, akan ada masalah hingga menyebabkan limitation (macam aku kena).

3) Pastikan korang ada Kredit Kad atau paling koman pon Debit Kad macam aku.

4) Tak ada Debit Kad? Masih menggunakan Maybankad yang lama warna kuning? Walk in aje ke mana-mana Cawangan Maybank dan bertukar ke Visa Debit Kad.


5) Kalau dah ada akaun Paypal dan Maybank Visa Debit Kad ni, bolehlah anda mula link-kan kedua-dua akaun.

6) Log ini Maybank2u korang. Pergi kat bahagian Utilities dan klik Maybankard Secure Online Shopping Registration. Isi semua maklumat.

7) Tiba bab Personal Assurance Message tu, korang buat sejenis ayat penyata. Tapi jangan ada tanda soal, comma atau nokhtah. Contohnya -> HARI INI SANGAT SEJUK

8) Kemudian, SUBMIT.

9) Setelah successful, bolehlah korang log in balik Paypal dan link Debit Kad korang kat situ. Sila ambil perhatian, sebanyak $1.95 (USD) = RM6.30 akan ditolak daripada akaun korang. So, pastikan dalam akaun ada duit.

10) Jangan risau. Jangan risau. Duit korang tu akan dipulangkan balik sebaik sahaja korang confirm Debit Kad korang. Dalam masa 24 jam, korang log in kembali ke Maybank2u dan perhatikan bahagian Account Details. Ada penambahan tab baru; DEBIT CARD HISTORY.

11) Korang klik kat Debit Card History tu, dan cari 4 digit Paypal Expuse. Copy 4 digit berkenaan dan paste kat bahagian Confirmation di akaun Paypal.

Akhirnya, $1.95 (USD) korang akan dipulangkan balik. Tapi, tak worth pon korang nak withdraw balik masuk akaun, sebab akan ditolak RM3. Ini disebabkan pengeluaran kurang dari RM400 akan dicaj RM3. Manakala pengeluaran melebihi RM400 adalah percuma.

Selamat menggunakan Paypal!

Eh, kenapa tangan ni gatal nak bukak eBay ni? Why? Why?? ;p



Aishah Rahim | ID 882365 Page : Vitamin Ibu Hamil, Berpantang & Menyusu Call / SMS / Whatsapp : 014-3580109 Blog : http://www.myaishah.com Email : shara85_jb@yahoo.com
Copyright to AISHAH RAHIM
Designed by UMIESUEstudio 2015