Aishah Rahim's Diary

Friday, October 30, 2009

Bayi Meninggal Dalam Kandungan...

kalau hari Jumaat je, mesti aku emo. kalau emo je, mesti hari Jumaat. aku menyampah betul. maka, sempena hari emo aku, mari aku kongsikan apa yang aku dapat sambil ber'emo tadi. moga korang dapat sedikit info dan takkan emo macam aku. :)

****************************************

KEMATIAN bayi di dalam kandungan atau `lahir mati’ merupakan satu mimpi sedih bagi sesebuah keluarga khususnya ibu itu sendiri.

Segala impian untuk menimang cahaya mata, mendengar tawa tangis si manja hilang dalam sekelip mata. Selepas mengandung melebihi 22 minggu bayi mati dalam kandungan.

Betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, namun hidup ini mesti diteruskan, peluang untuk mendapatkan anak masih ada.

Sebagai melengkapkan pengetahuan bagi ibu bapa dan ikhtiar untuk memastikan kandungan akan datang dapat dilahirkan dengan selamatnya, segmen Kesihatan mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan.

Dr. Jamiyah memberitahu, “Bukan semua kes bayi lahir mati dapat dikenal pasti puncanya, kecuali dilakukan autopsi ke atas bayi itu. Kadangkala ujian autopsi telah dilakukan tetapi punca kematian masih tidak diketahui.'’

Malah ada juga langsung tidak diketahui puncanya atau dikatakan takdir.

“Bagaimanapun bagi kebanyakan kes, ia boleh dielakkan daripada berlaku sekiranya ibu menjaga kesihatan dan mengambil langkah-langkah yang tertentu semasa di dalam proses kehamilan dan prihatin terhadap kandungannya.'’

Namun, kes-kes yang tidak diketahui puncanya hanya melibatkan peratusan yang kecil.

“Permintaan dan nasihat saya, janganlah berputus asa sebaliknya positif bagi mendapatkan kandungan yang kedua dan seterusnya. Berjumpalah doktor untuk mendapatkan nasihat,'’ ujar Dr. Jamiyah.

Apakah yang dikatakan istilah lahir mati atau stillbirth ini?

Lahir mati adalah kematian bayi di dalam kandungan selepas 22 minggu dikandung sebelum bayi sempat dilahirkan.

Maknanya bayi meninggal di dalam rahim beberapa minggu atau jam sebelum atau selepas ibu mengalami sakit bersalin.

Keguguran atau `keguguran spontan’ pula adalah `kehilangan’ kandungan yang berlaku sebelum ia berusia 22 minggu ataupun berat bayi kurang daripada 500gm jika usia kandungan tidak diketahui.

Tanda & simptom keadaan lahir mati

* Apabila ibu mendapati bayinya tidak lagi bergerak untuk satu jangka masa yang panjang

* Rahim tidak membesar melewati masa

* Tiada sebarang pergerakan atau degupan jantung pada bayi semasa menjalani ultrasound.

Antara punca-puncanya

* Jangkitan yang dialami ibu atau bayi dalam kandungan seperti jangkitan Torch iaitu toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus dan herpes

* Masalah uri atau tali pusat. Uri dan tali pusat yang menghubungkan bayi dengan rahim ibu. Kemungkinan uri terpisah atau tercerai daripada rahim terlalu awal ataupun terjadinya pendarahan daripada tali pusat (vasa praevia) dan uri

* Trauma atau kecederaan yang dialami di bahagian abdomen/perut ibu

* Tekanan darah tinggi yang dialami ibu, (kemungkinan ada atau tiada kaitannya dengan kehamilan)

* Diabetes

* Kecacatan struktur bayi yang melibatkan paru-paru, jantung, otak dan buah pinggang. Masalah kromosom yang tidak normal adalah sebab paling utama yang menyebabkan kematian janin di peringkat awal. Ia merangkumi lebih daripada 50 peratus punca keguguran spontan.

* Ibu mengalami gangguan autoimun, suatu keadaan di mana sistem imun atau antibodi seseorang itu yang menyerang dirinya sendiri.

Terdapat sebab-sebab lain yang mungkin turut menyumbang kepada kes lahir mati ini. Namun 10 peratus kes-kes lahir mati ini tidak diketahui puncanya.

Apakah yang patut dilakukan bagi mengelak insiden lahir mati?

* Mengawal diabetes mahupun darah tinggi yang boleh mengurangkan risiko lahir mati

* Mengelak daripada penyakit rubella dengan mendapatkan suntikan rubella lebih awal sebagai sebahagian daripada pelalian

* Elakkan makan daging mentah dan membela kucing-kucing untuk menghalang daripada toxoplasmosis

* Kerap mencuci tangan merupakan amalan baik yang boleh menghalang wanita hamil daripada dijangkiti penyakit

* Tidak merokok mahupun menghisap dadah apalagi semasa hamil. Ini kerana ia boleh mengakibatkan pertumbuhan bayi terbantut dan boleh meninggikan risiko insiden lahir mati.

Dr. Jamiyah berkata, lazimnya punca-punca ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, kecacatan semula jadi bayi, masalah uri dan tali pusat serta keadaan ibu berpenyakit yang boleh menjejaskan kehamilan.

Kecacatan adalah punca biasa namun sering kali terlepas pandang, seperti kes-kes bayi meninggal dalam kandungan ini.

Hampir 50 peratus kes keguguran spontan di peringkat tiga bulan pertama disebabkan oleh masalah kromosom yang tidak normal ataupun kecacatan struktur anggota bayi.

Uri dan tali pusat adalah saluran nyawa bayi untuk mendapatkan bekalan oksigen dan zat-zat makanan.

Andai terdapat masalah bagi salah satu daripadanya bermakna terputuslah `saluran nyawa’ bayi. Ia boleh juga mengakibatkan gangguan teruk bagi kelancaran peredaran darah, oksigen dan zat-zat makanan kepada bayi.

Uri dan tali pusat `sering dipersalahkan’ sebagai punca kematian bayi dalam kandungan ini namun ia masih merupakan `penyumbang’ sederhana di atas sebilangan kes lahir mati ini.

Biarpun bukan kebiasaan, keadaan ibu juga mungkin bertanggungjawab kepada kematian bayi dalam kandungan.

Sesetengah penyakit yang dihidapi ibu seperti diabetes dan darah tinggi serta rawatan ke atasnya kadangkala boleh menyebabkan bayi lahir mati.

Apa yang jelas, ujar Dr. Jamiyah, terdapat beberapa punca luar biasa lain yang menyumbang kepada kematian bayi dalam kandungan ini.

Beliau juga memberitahu, bayi yang dilahirkan lahir mati ini berhak mendapat sijil kematian dan dikebumikan oleh keluarga tersayang.

Melahirkan bayi lahir mati

Dr. Jamiyah menambah, ibu dan bapa berhak menentukan bilakah bayi itu patut dilahirkan walaupun ia sudah meninggal di dalam perut ibu.

Bagi seseorang ibu yang sihat dan tidak mengalami masalah kesihatan, keputusan untuk mengeluarkan bayi itu bergantung kepada ibu bapa bayi berkenaan untuk satu tempoh yang dianggarkan.

Bagi pihak doktor, apa yang dapat dilakukan ialah memberi pandangan dari pelbagai sudut, buruk dan baiknya melahirkan bayi itu serta cepat atau lambat.

Ibu boleh membuat pilihan sama ada untuk menanti waktu kelahiran secara semula jadi atau merangsang kelahiran secara paksa.

“Bukan semua yang mahu menanti saat kelahiran normal itu sedangkan bayinya sudah meninggal. Kita faham akan keadaan ini.

“Cuma kita hanya memberi pandangan dari sudut kesihatan dengan memberi sedikit masa sambil mengawasi kesihatan ibu. Itu pun kalau ibu atau keluarganya bersetuju. Keputusan dibuat oleh ibu atau keluarganya sendiri,'’ katanya.

Tidak salah jika seseorang ibu itu ingin menunggu kelahiran secara semula jadi tanpa paksaan. Walau bagaimanapun ada kalanya ia boleh melibatkan masa yang agak lama.

Jika ia melebihi empat minggu daripada tarikh bayi itu meninggal di dalam rahim, keadaan ibu harus diawasi agar masalah lain tidak timbul.

Dr. Jamiyah menambah, jika rangsangan atau paksaan bagi melahirkan bayi itu dilakukan, ia harus dilaksanakan dengan teliti kerana ia boleh melibatkan komplikasi kerana rahim belum bersedia untuk proses kelahiran.

Pintu rahim selalunya diperiksa untuk memastikan ia bersedia untuk proses kelahiran. Ini boleh memakan masa beberapa jam dan kadangkala melebihi 24 jam.

Ini adalah untuk memastikan risiko terhadap ibu di tahap yang rendah. Jika rahim dipaksa secara terus-menerus, ia boleh mengakibatkan rahim itu koyak dan memudaratkan ibu.

Maka sebab itulah, pihak doktor akan meneliti kes itu secara teliti sekiranya ibu sudah bersedia bersalin atau jika ia memerlukan rangsangan, ia dilakukan dengan teliti.

Ibu boleh melahirkan bayi itu secara normal selepas diberi bantuan yang secukupnya atau apabila sudah ada rasa untuk bersalin.

Bagaimanapun sekiranya terdapat komplikasi lain, doktor akan mencadangkan pembedahan Caesarean demi menyelamatkan ibu.

“Tugas kami adalah untuk menyelamatkan ibu dan inilah keutamaannya,'’ ujar Dr. Jamiyah berulang kali.

Sokongan suami dan keluarga

Beliau menegaskan, di kala isteri melalui saat-saat yang menyedihkan seperti ini, suami atau bapa serta ahli keluarga hendaklah memberikan sokongan moral kepada isteri atau ibu.

“Kemurungan dan kesedihan boleh terjadi dan menjejaskan kesihatan isteri dan ini hendaklah dielakkan,'’ jelas Dr. Jamiyah lagi.

Menyedari hakikat ini, pihaknya merancang menubuhkan kumpulan sokongan untuk membantu ibu-ibu yang melalui pengalaman sedih atas kehilangan bayi.

Bagaimanapun menurut Dr. Jamiyah, sekiranya ibu itu sudah sihat semula, maknanya dia sudah bersedia untuk mengandung lagi dan melahirkan anak yang normal asalkan dia menjaga kesihatannya.

Pihak doktor pula mengawasi kesihatan ibu dan ibu hendaklah datang berjumpa doktor secara berkala lebih-lebih lagi mendapati bayinya tidak bergerak lagi.

Tidak ada istilah `bayi tidur’ sepanjang masa sewaktu kehamilan lebih-lebih lagi jika bayi itu sudah besar.

Walaupun bayi yang melebihi tujuh bulan mempunyai ruang yang terhad untuk pergerakan tetapi ia mesti bergerak seperti biasa.

Cuma kekuatan tendangan akan berkurangan kerana ia sudah membesar dan memenuhi hampir seluruh ruang rahim.

“Bayi yang normal akan bergerak lebih daripada 10 kali dalam masa 12 jam sehari. Bayi akan tidur di dalam kandungan tetapi tidak sepanjang masa.'’

Dr. Jamiyah juga menyarankan bakal ibu atau ibu menghadiri kelas-kelas untuk ibu hamil, bagi mendapatkan maklumat bukan sahaja mengenai kelahiran, penyusuan ibu malah lain-lain yang ada kaitannya dengan ibu dan anak.

“Kepada suami, berilah semangat dan kasih sayang terhadap isteri di samping anda sendiri juga perlu tabah dan berfikiran positif,'’ kata Dr. Jamiyah di akhir pertemuan itu.

****************************************

sumber dari : MyPermataHati.Com



Aishah Rahim | ID 882365 Page : Vitamin Ibu Hamil, Berpantang & Menyusu Call / SMS / Whatsapp : 014-3580109 Blog : http://www.myaishah.com Email : shara85_jb@yahoo.com

Friday, October 16, 2009

Pantang, Jamu Dan Susu Badan....

hari ini, seminggu sudah Arwah Nashrah selamat dikebumikan..... maksudnya, sudah seminggu jugalah aku berpantang..... ianya satu pengalaman yang menarik..... banyak benda baru yang aku dan Wahid pelajari...... dalam hati sebenarnya masih sedih..... ape tidaknya, orang lain berpantang bersama bayi...... aku pula, hadapi hari yang penuh jamu, ubat kayu dan minyak angin seorang diri.....

ape pon, ianya sangat menarik untuk dikongsi...... dari hari pertama aku pulang ke rumah hinggalah ke hari ini, aku semakin selesa dengan kudrat masa dan takdir alam...... siapa kata proses berpantang itu leceh?? malah aku semakin suka dengan perjalanan hidup aku kini......

"alah, kau berpantang senang la...... kau mana ada anak...... kalau ada anak, baru kau rasa susahnya...... nak bangun malam bagi susu...... anak kau tak dapat tido meragam perut...... kau nak makan jamu pon senang...... bukan ada menyusu badan pon....... tak ada pikir anak kena kuning ke hape........ hehehehehehe......."

suara orang bodoh...... :)

kawan, aku berpantang sama seperti kalian-kalian........ aku pakai stokin setiap masa....... badan aku sentiasa berparam....... dahi aku dicalit pilis 2 jam sekali...... aku bertungku batu panas tiap kali menonton TV..... perut aku juga dibengkung supaya aku tak rasa gegar yang maha sakit...... aku mengamalkan minum air periuk yang pahit 2 kali sehari...... jamu juga aku telan...... ubat doktor tetap aku tak tinggal......

walau aku tiada anak, kawan............ :)

tahu tak kawan, aku juga punya rutin yang sama seperti kalian....... aku perah susu badan 2 jam sekali........ sakitnya Tuhan aje yang tahu........ bengkaknya bagai batu....... banyaknya susu sampai aku menangis mahu buang........ kau tahu perasaan aku???

tak, kau tak akan tahu...... hanya orang yang benar-benar rasa sahaja yang tahu......... :(

oh, bercerita soal susu badan........ tiada apa yang patut diralatkan kini...... tiada rezeki Arwah Nashrah untuk aku susukan...... malah tiap kali aku perah susu dan mahu dibuang, aku terasa seperti sayu hati...... mujur ada suami yang sentiasa beri semangat...... contoh kata-kata semangat suami;

"tak apa, tahun depan kita ada baby... okeh??"

erk, itu kata semangat ke..... tempahan kilang?? :)

**********************************************************

aku syorkan beberapa perkara untuk melancarkan proses breast-feeding;

1) banyakkan minum susu ketika mengandung....... tak kiralah susu Anmum atau EnfaMama.... mengikut apa yang aku lalui sekarang, susu badan memang banyak..... walau kandungan aku baru 7 bulan, jika Arwah Nashrah masih ada....... :)

2) rajinkan membasuh puting / nipples dengan kapas yang dicelup air suam ketika masih mengandung lagi...... boleh juga kalau nak bersihkan pakai minyak johnson baby...... ini bagi membuka saluran puting susu yang berkerak..... untuk pengetahuan bersama, puting susu wanita ada 12 saluran yang menghasilkan susu...... kalau 12 saluran ni dah terbuka, memang senang sangat susu nak keluar.......

3) tuam payudara dengan tuala dan air suam selepas bersalin..... atau lebih mudah, gunakan batu tungku yang digunakan semasa proses berurut...... selepas bersalin, payudara kita akan membengkak tahap batu sebab saluran puting susu belum terbuka...... jadi, proses tuam ni akan mengurangkan rasa bengkak dan mencairkan susu yang membeku di dalam......

4) sediakan breast pump....... tak kiralah yang mahal atau yang murah..... ikut keselesaan bajet dan paling penting, tahap kerajinan....... aku rasa breast pump ni sangat membantu..... selain mempercepatkan susu keluar, ianya juga menyedut dengan lebih efektif dan seterusnya membuka saluran puting yang tersumbat.....

5) minum air soya bagi memperbanyakkan air susu..... yang ini, aku kurang pasti kebenarannya...... sebab ikut kata kakak aku, masa dia breast-feed anak sedara aku dulu, dia minum soya 2 kotak sehari..... dan hasilnya dia dapat perah 4oZ sekali pump (tiap 2 jam)...... aku tak amalkan minum susu soya ni.... sebab kalau susu banyak pon, buang ke sink jugak..... :(

**********************************************************

dan akhir sekali, aku ingatkan, jangan lupa makan jamu...... itulah bab yang paling penting sekali...... bukan sebab kau kena jaga badan kasik cantik ke hape...... tapi jamu ni boleh keluarkan darah kotor dalam badan dan kecutkan rahim....... tapi, carilah jamu yang tak beri mudarat pada proses breast-feed nanti...... jangan abaikan breast-feed...... niat dalam hati dari sekarang;

"susu badan aku ini, HAK anak darah daging aku......"

insya-Allah, dipermudahkan.......



Aishah Rahim | ID 882365 Page : Vitamin Ibu Hamil, Berpantang & Menyusu Call / SMS / Whatsapp : 014-3580109 Blog : http://www.myaishah.com Email : shara85_jb@yahoo.com

Sunday, October 11, 2009

Nur Anis Nashrah, Bidadari Syurga...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...

Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau lindungilah anak ku NUR ANIS NASHRAH..... moga anak ku ini, mampu menjadi bidadari syurga terbaik, terindah dan tercinta..... Amin Ya Rabbal Alamin.....

Alhamdulillah..... berkat doa tanpa henti suami tercinta dan kaum keluarga..... sanak saudara dan rakan taulan..... segalanya telah selesai dan berjalan dengan selamat..... aku panjat syukur yang paling tinggi, walau satu sudut dalam hati yang paling dalam, aku sebenarnya sedih dengan pemergian yang paling terindah ini...... :)

penantian selama 2 minggu 5 hari akhirnya tamat dengan 'lahirnya' bayi perempuan seberat 600 gram pada petang Jumaat, 9 Oktober 2009 jam 1.57 petang..... syukur sekali lagi, kerana diberi kekuatan untuk melihat tanda kasih kami suami isteri, untuk pertama kali dan terakhir tentunya......

segala proses mandi, kafan dan kebumi jenazah dilakukan pada petang itu juga, oleh suami dan keluarga terdekat..... ketika itu, aku masih di bilik bersalin....... bagi memastikan tahap kesihatan yang benar-benar stabil dan tiada komplikasi pada masa akan datang.....

"Nashrah, anak mama...... jauh di sudut hati mama, mama terlalu rindukan Nashrah...... Nashrah jantung hati mama....... Nashrah kecintaan mama........ Nashrah adalah jalan permulaan hidup mama dan ayah....... Nashrah sinar cahaya yang selalu buat mama dan ayah gembira........ ketahuilah Nur Anis Nashrah, mama dan ayah sayangkan Nashrah walau Nashrah tak sempat melihat dunia...... jangan berhenti berdoa sayang...... moga dipertemukan kita semula disana........"


kenangan terakhir mama dan Nashrah... :)




Aishah Rahim | ID 882365 Page : Vitamin Ibu Hamil, Berpantang & Menyusu Call / SMS / Whatsapp : 014-3580109 Blog : http://www.myaishah.com Email : shara85_jb@yahoo.com

Wednesday, September 30, 2009

Telah Tertulis, Itu Ceritanya....

ramai rakan yang datang melawat datang bertanya.... apa punca sebenar musibah yang telah menimpa diri aku kini.... malah aku yakin, rakan-rakan blogger yang tak henti mengucapkan takziah pon, ingin tahu apa perkara sebenar yang berlaku..... honestly, aku sendiri masih belum tahu apa puncanya.....

apa yang aku masih ingat, aku mula tidak rasakan gerakan dan tendangan nakal dari dalam kandungan pada petang hari raya pertama...... waktu tu, aku berada di Singapura bersama keluarga sebelah suami..... suasana raya yang gembira bersama keluarga baru, membuatkan aku alpa sebentar tentang makhluk kecil ciptaan Tuhan ini....

banyak faktor yang memungkinkan pemergian si kecil ini..... mungkin kerana aku berpuasa penuh sebulan hingga mengakibatkan si kecil kurang nutrisi..... mungkin juga kerana aku terlalu aktif membuat kerja rumah bagi menyambut persiapan raya..... atau mungkin keadaan baju raya yang agak ketat kerana dibeli awal sewaktu perut belum membesar.... dan mungkin juga faktor pemakanan tanpa had di hari raya.....

masih belum pasti, selagi si kecil belum dikeluarkan... :(

aku pulang ke Johor Bahru pada malam raya kedua..... hati dah mula terdetik, kenapa anak kecil ini langsung tak berikan respon seperti selalu..... tidak seperti awalnya, sangat responsif bila mama atau si ayah ajak berbual..... kegusaran hati disuarakan pada suami.... kami mula memikirkan kemungkinan yang negatif..... sungguh, hati tak keruan tika ini......

aku ambil masa yang lama untuk setuju cadangan suami, bagi membawaku ke klinik untuk lihat perkembangan si kecil.... aku takut untuk dengar perkara negatif..... hati aku seperti sudah dapat meneka..... tapi dalam masa yang sama, aku harapkan keajaiban Tuhan....

aku minta pendapat rakan lama yang juga seorang bakal doktor.... hasil perbincangan pendek, Fadzly nasihatkan aku untuk terus berjumpa doktor..... kata Fadzly, kalau bayi tidak respon dalam masa 12 jam pon, sudah memungkinkan perkara negatif.... apatah lagi kes aku yang sudah tidak respon selama 4 hari.....

akhirnya, aku setuju untuk ke klinik swasta ditemani suami.... itupun pada raya ke-empat.... silap aku kerana mengambil masa terlalu lama.... ye, silap aku....... :(

masuk ke bilik doktor memang mendebarkan.... setelah aku terangkan serba sedikit masalah dan kegusaran yang dihadapi, doktor minta aku baring seperti biasa.... proses scanning dan ultrasound berjalan seperti biasa......

aku dah agak!! kami dah agak!! ye, aku dah agak...... walau doktor belum mengatakan apa-apa, hati aku dah sayu...... kalau dulu sewaktu ultrasound yang sebelum, aku dan suami akan lihat betapa aktifnya anak kami...... tangan dan kaki bergerak-gerak..... pusing sana.... pusing sini...... degupan jantung pon akan jelas kelihatan seperti burung terbang.......

tapi kali ni......... kaku.........

kesenyapan doktor bagai membunuh....... agak lama doktor ambil masa untuk beritahu kondisi si kecil...... mungkin bagi memastikan perkara sebenar.... tak mahu buat silap..... atau mungkin takut menghancur leburkan hati si ibu.......

"saya rasa, anak awak dah meninggal......"

Tuhan.......... sebaris ayat itu dah cukup buat kakiku tak mampu bergerak....... aku pandang suami....... senyuman penguat semangat dihadiahkan...... walau aku nampak matanya bergenang...... aku cuba senyum...... tapi airmata lebih dulu memainkan peranan.......

"saya rasa, saya tak silap..... saya akan buat surat untuk refer GH.... lepas ni, awak terus ke Bilik Saringan di GH..... untuk confirmation......"

doktor menerangkan pada suami......

"tak apa..... awak muda lagi...... ada rezeki lain......"

kata-kata semangat dari doktor untuk aku pula....... aku senyum bila mendengar ayat itu..... memang aku muda doktor....... memang akan mudah bagiku untuk mendapatkan pengganti.... tapi tahukah bagaimana perasaan tika ini?? aku rasa seperti si kalah yang jatuh terjelepuk...... tak mampu bangun...... kekuatanku seperti ditarik.....

sesampai di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, aku dan suami terus ke Bilik Saringan..... sepanjang perjalanan tadi, hanya airmata peneman diri..... suami memberikan semangat dengan genggaman tangan yang erat...... aku tahu hatinya juga tak tenang..... sedih...... kecewa...... sama seperti diri ini..... tapi disalurkan semangat, agar aku sedikit kuat.....

"kalo tak, kita jadi mama dan ayah lagi 3 bulan, kan pa?"

di Bilik Saringan, aku menunggu giliran untuk diperiksa... di bilik inilah semua ibu-ibu mengandung yang telah sakit untuk bersalin di periksa..... untuk dipastikan pembukaan jalan bayi keluar...... cuma bezanya kisah aku, aku datang tanpa sakit..... aku datang bersama anak tanpa degupan jantung di dalam perut...... :(

salah seorang jururawat minta aku berbaring..... kemudian dikeluarkan sejenis alat untuk mendengar degupan jantung...... langsung tiada bunyi..... senyap..... sunyi...... aku diminta untuk menunggu sebentar...... sebelum aku dibawa ke sebuah bilik untuk proses ultrasound.......

airmata lagi jadi peneman...........

datang seorang doktor untuk mulakan proses ultrasound...... beberapa minit berlalu, doktor berkenaan mulakan bicara;

doktor :
tadi gi klinik swasta, doktor kata apa puan?


aku :
doktor tu kata, anak saya dah meninggal....

suasana diam....... doktor berkenaan amati lagi skrin ultrasound........

doktor :
jadi puan dah tahu eh..... ye, anak puan dah meninggal..... cuma kita belum boleh tahu apa sebabnya....... kena tunggu bayi keluar...... erm, kita akan masukkan ubat untuk buka jalan rahim bagi nak keluarkan bayi puan..... puan akan rasa macam bersalin normal la....... saya nak jumpa suami puan dulu....... okey??

aku angguk..... dah tak mampu keluarkan kata-kata..... selebih perkataan yang keluar dari mulut doktor berkenaan, langsung tak masuk kepala...... fikiran hilang entah kemana.... aku cuba kuatkan semangat...... berjalan walau airmata tak henti mengalir...... suami yang tidak dibenarkan masuk ke Bilik Saringan ku panggil..... sepanjang mereka berbincang, aku langsung tak dengar........ walau hakikatnya jarak kami bukanlah jauh mana.......

doktor berkenaan beri aku pilihan, sama ada mahu admitted hari itu juga..... atau pulang dulu ke rumah untuk sediakan barang-barang...... ah, sudah tentu aku memilih untuk pulang dulu...... aku nak jumpa mak...... penguat semangat..... penyunting kesabaran......

berita sedih ini telah lebih dulu dikhabarkan oleh suami kepada keluargaku dan keluarga mertua...... pada mulanya, aku takut untuk berhadapan dengan semua ahli keluarga..... lebih-lebih lagi keluarga mertua..... apa tidaknya, ini cucu pertama mereka...... tentu harapan mereka tinggi...... tapi sangkaanku meleset bila ayah mertua yang menghubungi telefon bimbit suami mula menitipkan kata-kata semangat;

"sedih ayah dengar sha..... kau sabar..... kuatkan semangat..... jap lagi ayah datang.... kita pergi hospital ye?? kita keluarkan anak tu dulu...... ayah tak nak effect pada kau.... jap lagi ayah datang umah mak, kita pegi eh??"

hanya kata maaf yang mampu aku ucapkan..... selain airmata dan suara teresak-esak...... sungguh, ini kurniaan Tuhan...... diberikan aku keluarga dan keluarga mertua yang sangat-sangat penuh cinta.......

sesampai di rumah, aku lihat mata mak sudah berair....... aku lari masuk ke bilik...... deraian airmata sudah tak dapat ditahan...... aku menangis bagai tiada hari esok..... datang suami memujuk...... ditiupkan kekuatan......

"engkau suami terbaik Wahid..... untuk aku, Aishah...."

aku minta dipanggil mak...... sungguh....... insan ini bagai separuh dari nyawaku...... aku peluk dan cium mak....... ciuman dan belaian mak membuatkan jiwa aku kental.......

aku :
kenapa dia tinggalkan ayang mak??

mak :
ayang.... semua dah qada' dan qadar Allah..... Allah lebih sayangkan dia...... ayang kena kuat nak..... ini dugaan....... dia tunggu ayang kat syurga nak....... kita pergi hospital eh nak? kita keluarkan dia....... kita kebumikan dia....... biar dia tenang...... ok sayang??

aku :
orang lain sakit bersalin..... depan mata ada anak..... ayang sakit bersalin, anak ayang dah tak ada...........

pelukan mak makin erat....... hanya esakkan kami yang kedengaran....... datang suami mengusap rambut....... dan tiba-tiba bilik aku penuh dengan kehadiran keluarga mertua.......

ibu mertua :
aisha.......

hanya itu yang mampu aku dengar..... lainnya, suara esakkan kami yang entah berapa orang...... pelukkan erat ibu mertua bagai mengurangkan tekanan...... adik-adik ipar juga turut sama memeluk bagi memindahkan semangat....... kata-kata semangat dari mak dan ibu mertua, bagai memberikan sedikit ketenangan......

"aku yakin ada hikmah atas dugaan-Mu ini Tuhan......."

suami dan mak mula mengemas barang dan pakaian untuk aku di hospital..... aku bagai mati separuh...... yang aku tahu, selesai mereka berkemas, aku ke hospital semula untuk daftar masuk wad..... masa bagai berjalan pantas...... dan akhirnya aku duduk di atas katil hospital......

6 hari 5 malam berada di hospital, sungguh menekankan........ dari suara tangisan bayi, hinggalah proses-proses bagi mengeluarkan bayi ini, semuanya menjadikan aku makin tertekan..... 3 kali proses memasukkan ubat bernama Prostin, tidak menunjukkan jalan keluar...... anak kecil ini masih belum mahu turun...... pembukaan jalan belum terbuka..... rahim masih ketat......

"kita kasi awak balik dulu..... rehat di rumah...... isnin depan admitted balik..... kita mula masuk Prostin semula...... kita tunggu untuk bayi kecil sedikit..... jalan pon mudah buka..... ini anak pertama kan?? memang susah sedikit jalan nak buka...... jangan takut...... ini proses biasa...... tiada effect pada badan awak..... as long as awak tak demam atau air tak pecah......"

doktor pakar mengeluarkan arahan...... aku sedikit lega..... sekurang-kurangnya, mataku tak asyik memandang katil kecil si comel...... telingaku tak dengar suara esak tangis bayi.......

ye, hari ini...... sekarang ini..... si kecil ini masih di dalam perutku....... masih menemani setiap langkahku....... masih utuh di dalam....... walau tanpa degup jantung......... terasa payah untuk meninggalkan aku, mungkin...... :)

"sayang, mama dan ayah mungkin bukan yang terbaik buat awak...... sebab tu, Tuhan tarik awak dari kami....... kami redha sayang....... kami izinkan awak pergi....... awak pergilah dengan tenang..... cuma satu kami minta, tunggu kami kat 'sana'...... okey??"

untuk rakan-rakan, mohon didoakan keselamatan dan kesihatan aku nanti..... moga proses seterusnya nanti, akan dipermudahkan semudah-mudahnya.......

"Ya Allah, aku mulai redha..... Alhamdulillah......."



Aishah Rahim | ID 882365 Page : Vitamin Ibu Hamil, Berpantang & Menyusu Call / SMS / Whatsapp : 014-3580109 Blog : http://www.myaishah.com Email : shara85_jb@yahoo.com

Monday, September 28, 2009

Kasih Sayang Tuhan...

Bismillahirahmanirahim...

moga Allah sentiasa kuatkan semangat dan beri seluruh kekuatan pada diri ini..... sungguh aku tak kuat hadapi dugaan-Mu ini Ya Allah.... tapi aku semakin redha atas qada' dan qadar-Mu.... moga ini, menjadi pengajaran untuk aku, kita dan semua......

aku tak tahu nak mulakan bagaimana dan dari mana.... malah aku rasa canggung dengan diri sendiri..... aku terasa kekuatan diri aku ditarik sementara..... nyawaku bagai ditarik separuh.... tapi aku harus belajar untuk bangun dan mula pandang ke hadapan..... tak guna dikenang perkara yang telah lepas.... apatah lagi untuk ditangisi.... memang dah tak berguna......

aku mengharapkan Aidilfitri tahun ni berlangsung dengan bahagia dan gembira..... apa tidaknya, dengan status isteri yang baru digenggam..... beraya bersama keluarga baru..... dan dikelilingi insan-insan tersayang, memang cukup mengujakan..... apatah lagi bersama anak dalam kandungan yang baru mencecah usia 6 bulan.... sungguh indah aku bayangkan...... :))

tapi keindahan yang aku harapkan tak berpanjangan..... rezeki Tuhan yang diberi telah diambil semula..... sekelip mata.... tanpa aku sedari..... dalam riang ria raya, ianya hilang dan kembali menemui Pencipta nya..... sungguh, ini ujian maha hebat buat diriku......

ye, anak yang aku kandung 6 bulan, kini telah tiada...... telah tinggalkan mama dan ayah nya..... sudah tidak bernyawa.... tiada denyutan jantung...... malah, tiada lagi gerakan atau tendangan nakal dari dalam.....

"kenapa anak mama tinggalkan mama?? anak mama tak sayang mama ke??"

aku sedar, Allah lebih sayangkan bayi ini..... mungkin Allah ingin ganti dengan yang lebih baik..... atau mungkin, Allah ingin aku lebih muhasabah diri..... ape jua hikmah di sebalik dugaan ini, aku akan cuba hadapi..... baik aku mahupun suami, kami sama-sama menjadi penguat semangat antara satu sama lain.....

terima kasih untuk semua keluarga yang sentiasa ada di sisi..... mak, ayah mertua, ibu mertua, adik beradik dan adik-adik ipar..... saudara mara jauh mahupun dekat..... rakan-rakan dari zaman persekolahan, zaman sepermainan dan zaman pekerjaan.... tidak lupa rakan-rakan blogger yang sempat dikhabarkan..... semuanya penguat semangat 24 jam tanpa henti..... yang sentiasa risaukan diri ini..... yang tak henti mengambil berat.....

Ya Allah, Engkau mungkin menarik satu cinta dalam diri ini..... satu cinta yang tak ternilai olehku..... tapi Engkau telah beri berpuluh-puluh kasih sayang yang aku syukuri.... nikmat persaudaraan..... nikmat persahabatan.... dan nikmat kasih sesama kami.... jangan Engkau tarik nikmat ini Ya Allah, sungguh aku lemah.....

doakan aku selamat, dunia dan akhirat...

p/s : terima kasih suami, kerana sentiasa ada di sisi.... tak jemu beri semangat.... tak bosan melayan karenah perasaan isteri..... moga kita sama-sama tabah..... okey??



Aishah Rahim | ID 882365 Page : Vitamin Ibu Hamil, Berpantang & Menyusu Call / SMS / Whatsapp : 014-3580109 Blog : http://www.myaishah.com Email : shara85_jb@yahoo.com
Copyright to AISHAH RAHIM
Designed by UMIESUEstudio 2015